Sunday, October 13, 2013

Pencetus Idea Marxism



3.1 Pencetus Idea Marxism

Antara falsafah dan pemikir yang banyak mempengaruhi idea pemikiran Marx dan teori Marxism ialah George Wilhelm Federick Hegel dan Ludwig Feurbach. Hegel memperkenalkan kaedah analisis dialektik beliau manakala Feurbach pula adalah orang yang mempengaruhi perkembangan idea teori materialisme Marx.
Teori Marxism bermula dengan pengaruh perkara yang disebutkan diatas. Melalui dua perkara ini, kita dapat melihat dengan lebih jelas perkembangan ideologi Marx dengan teori Marxism dan bagaimana ia mampu dijanakan sehingga tercetusnya ideologi komunisme.
Kaedah analisis dialektik merupakan satu konsep asas yang memperlihatkan bagaimana kelahiran idea baru itu berlaku. Kelahiran idea baru ini tercetus apabila muncul suatu penentangan terhadap idea-idea asal. Hal ini memperlihatkan bahawa tiada perkara yang kekal dan tetap.Semua perubahan yang berlaku adalah hasil daripada perkara-perkara yang bercanggah dan kontra kepada idea asal.
Untuk mempermudahkan idea kaedah analisis ini, terdapat tiga perkara yang penting menurut kaedah ini iaitu tesis, anti-tesis dan yang terakhir sintesis. Idea ini akan dapat diperkembangkan dengan lebih jelas sekiranya kita dapat memahami dan menguasai maksud dan perihal ketiga-tiga perkara yang dimaksudkan ini.Tesis dapat kita analogikan sebagai suatu idea yang sedang digunakan menurut situasi dan keadaan semasa. Apabila wujudnya satu penentangan terhadap tesis atau lahirnya satu idea baru yang kontra dengan tesis iaitu idea asal, maka akan lahir satu idea baru yang dapat kita analogikan juga sebagai anti-tesis. Anti-tesis adalah idea yang bercanggah dengan idea asal yakni tesis dan kelahiran idea baru bagi menggantikan tesis adalah sintesis.
Dalam konteks hari ini mungkin sintesis dapat kita faham dengan jelas sebagai pemulihan atau perubahan bagi menambah baik idea asal yang berkemungkinan sudah tidak relevan atau kurang relevan berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti masa, situasi, keadaan semasa dan lain-lain.Maka apabila kita berbicara tentang suatu ketetapan atau perubahan dan mengapa semua itu berlaku, maka kaedah ini dapat menerangkan dan menghuraikan dengan lebih jelas tentang segala persoalan dan mengapa hal ini terjadi sedemikian rupa.

Walau bagaimanapun, Marx tidak menyatakan persetujuannya terhadap perkara ini dan menentangnya dalam penulisan beliau dan Engels (1975).Marx berfikiran bahawa idea bukanlah elemen yang mampu menggerakkan sejarah sebaliknya keadaan material atau mudahnya keadaan ekonomi manusia yang menggerakkannya.


SUKA BACA? SILA LIKE DAN KOMEN =)

Comments
0 Comments

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...