3.2 Teori
Marxism
Teori yang dihasilkan ini adalah
berasal dari idea Marx dan Engels yang dimanifestasikan hasil daripada
penulisan mereka.Menurut teori ini terdapat 4 perkara atau ciri-ciri asas yang
perlu dikuasai. Asas-asas bagi teori inilah yang akan menerangkan idea sebenar
perjuangan Marx dan Engels dan kesemua asas ini perlu di fahami dengan baik.
Asas atau ciri
yang pertama ialah eksploitasi kelas. Menurut asas ini, kita diperlihatkan oleh
Marx tentang bagaimana pengeksploitasian antara masyarakat atau kelas yang
berbeza berlaku.Hal ini dilihat oleh Marx sebagai bibit utama bagi kapitalisme
dan perdagangan bebas. Dalam kapitalisme, keuntungan para kapitalis dapat
dikecapi dengan perbezaan antara hasil pengeluaran dengan kos pengeluaran yang
merangkumi kos tenaga buruh.
Dalam konteks
ini dapat diperlihatkan bahawa semakin rendah kos pengeluaran, semakin
rendahlah kos tenaga buruh. Hal ini kerana, kapitalisme adalah berasaskan
pembayaran yang diberi kepada pekerja yang mana nilainya adalah lebih rendah
dari nilai barang yang dihasilkan.Perkara ini menunjukkan betapa rendahnya
nilai manusia yang dikawal oleh segolongan yang berkepentingan dalam ekonomi
dan kaya atau berkuasa.
Ciri yang kedua
pula ialah berkenaan base dan superstructure. Base dan superstructure
ini adalah istilah yang digunakan untuk memahami suatu konsep kehidupan dalam
masyarakat yang cuba digambarkan oleh Marx. Idea Marx ini juga cuba memberi
gambaran bahawa terdapat kaitan antara dua entiti yang berbeza ini. Akan tetapi
apakah takrifan sebenar base dan superstructure ini dan apakah
hubungkaitnya?
Base menurut Marx adalah kesedaran masyarakat sosial terhadap sesuatu
isu yang meliputi semua aspek kemanusian. Superstructure pula
menakrifkan suatu institusi yang wujud sama ada institusi politik mahupun
perundangan. Teori Marxism ini memperlihatkan bagaimana kesedaran ini akan
mewujudkan sebuah intitusi yang bergerak. Hal ini kerana, mereka melihat bahawa
base hanya sekadar organisasi sosial yang cuma mampu berfikir dan
perubahan itu hanya dapat berlaku melalui sebuah badan yang berorganisasi iaitu
superstructure atau institusi itu tadi.
Berdasarkan
perkara ini, kita dapat mengetahui bahawa base dan superstructure
ini saling bergantungan dalam aspek kehidupan seharian.Marx juga sering
menggunakan contoh pengeluaran sesebuah produk dalam penghasilan sesebuah
barangan asas. Namun begitu, perkara ini tetap sama dengan kedua-duanya saling
bergantungan antara satu sama lain dalam mempelopori kehidupan.
Ciri seterusnya
adalah berkenaan dengan kesedaran kelas atau class consciousness. Kesedaran
kelas bermaksud kesedaran sesebuah masyarakat mengenai kepentingan diri dan
masyarakat mereka dan juga disekeliling mereka. Kesedaran ini terbentuk dengan
mereka mengetahui bahawa mereka adalah kalangan masyarakat yang berupaya dan
mempunyai kapasiti dari segi tenaga dan bilangan bagi memperjuangkan segala
kehendak mereka.Signifikannya, kesedaran kelas ini adalah asas yang paling
penting untuk mencetus dan menjayakan sebuah revolusi.
Dalam konteks
kehidupan masyarakat, pembahagian masyarakat kepada kelas-kelas sosial adalah
berdasarkan tahap kekayaan atau kekukuhan ekonomi sahaja.Walau bagaimanapun,
Marx berpendapat bahawa sesebuah kelas atau struktur sosial itu dapat
dikelaskan dengan berdasarkan hubungan mereka dengan kaedah pengeluaran dan
pembuatan. Hal ini menunjukkan bagaimana Marx melihat bahawa kelas itu mampu
diubah atas dasar keupayaan, kapasiti atau bilangan majoriti dan ini mampu
menggerakkan satu perubahan struktur masyarakat dan ini yang cuba dijelaskan
bahawa revolusi boleh berlaku dengan timbulnya kesedaran kelas.
Ciri yang
terakhir bagi teori Marxism ini ialah kesedaran palsu masyarakat atau false
consciousness. Dalam The German Ideology karya Marx, beliau menghuraikan
tentang kesedaran palsu dan bagaimana perkara ini diterapkan dalam
masyarakat.Menurutnya, lapisan masyarakat ‘superstructure’ telah menggunakan
kekayaan dan kekuasaan mereka untuk memberi kesedaran palsu kepada masyarakat.Istilah
carrot and stick sangat sesuai untuk dijadikan analogi bagi situasi ini.
Dengan cara ini, masyarakat bawahan digula-gulakan oleh golongan atasan tentang
keadaan ekonomi, status kehidupan masyarakat dan lain-lain dengan
menyembunyikan kebenaran sebenar.
Hanya dengan
cara ini, masyarakat dapat ditenangkan supaya mereka merasakan bahawa
pembangunan dan kesenangan dapat mereka kecapi melalui sistem kapitalisme
walhal mereka mendapat keuntungan yang terlalu sedikit berbanding golongan yang
mengula-gulakan mereka yakni golongan masyarakat ‘superstructure’. Golongan ini
bertindak hanya untuk kepentingan individu dan masyarakat mereka dengan mengaut
segala keuntungan yang ada.Bagi masyarakat yang kurang peka dan prihatin,
inilah bahana yang sering menimpa mereka.
Melalui
pendekatan teori ini, kita dapat mengetahui bahawa tujuan sebenar Marx ialah
untuk menyedarkan masyarakat yang terkongkong dan di eksploitasi berdasarkan
kedudukan mereka. Marx membawa teori melalui kesemua ciri-ciri ini hanya dengan
satu matlamat akhir yakni untuk membangkitkan kesedaran rakyat bawahan bahawa
mereka sering ditindas oleh masyarakat atasan. Demikianlah juga dengan idea dan
perjuangan Marx untuk menghapuskan kelas masyarakat dan membawa satu konsep
kesamarataan.